Wednesday, August 3, 2011

NC Unisel Letak Jawatan???





Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Datuk Dr Rosti Saruwono meletak jawatan berkuat kuasa hari ini sebagai membantah pemecatan tiga individu di universiti berkenaan tanpa diberi surat tunjuk sebab dan peluang membela diri.


Tiga individu terbabit ialah, Prof Dr Khalifah Othman (Dekan Fakulti Perniagaan), Rokmaa Mat (Pendaftar) dan Halid Hasbullah (Pengarah Pemasaran). Usaha menghubungi Dr Rosti yang memegang jawatan itu sejak Mac 2009 bagaimanapun gagal, namun melalui satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada pemberita, beliau mengesahkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 3 Ogos.


Datuk Dr Rosti Saruwono
“Ada keputusan yang saya tak sanggup melaksanakan iaitu melucutkan jawatan tiga pegawai UNISEL tanpa memberi sebab dan tanpa `due process’. Selamat berpuasa,” katanya dalam SMS itu.
Berita Harian difahamkan Dr Rosti memanggil satu mesyuarat pada jam tiga petang sebelum mengumumkan keputusan mengejutnya.
Sementara itu, menurut satu kenyataan untuk edaran dalaman UNISEL, keputusan Dr Rosti itu dibuat kerana memorandum yang dihantar kepada Jawatankuasa Siasatan Exco Kerajaan Negeri Selangor dianggap memfitnah Dr Rosti dan tiga individu terbabit.
“Memorandum itu memfitnah Dr Rosti dengan tiga yang lain iaitu  Prof Dr Khalifah Othman (Dekan Fakulti Perniagaan), Rokmaa Mat (Pendaftar) dan Halid Hasbullah (Pengarah Pemasaran) dengan pelbagai tuduhan tidak benar.


“Memorandum bertarikh 16 Mei itu ditandatangani Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Zainal Abidin Kidam; Prof Dr Anuar Ahmad (TNC Akademik), Prof Ir Dr Mohamed Daud (TNC Perancangan Strategik dan Pembangunan) dan Datuk Latifah Hassan (Naib Presiden Perkhidmatan dan Pengurusan),menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan Naib Canselor untuk melucutkan jawatan tiga pegawai itu.
Pelucutan jawatan itu, tidak mengikut tatacara perundangan tatatertib UNISEL.Mereka terbabit tidak pernah diberi surat tunjuk sebab dan tidak diberi peluang membela diri. Sebagai membantah tindakan itu, Rosti meletak jawatan sebagai Naib Canselor UNISEL, hari ini.


Dr Rosti yang berasal dari Klang, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Bahagian Pendidikan PETRONAS dan Rektor pertama Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) sebelum dilantik sebagai Naib Canselor UNISEL pada 2 Mac 2009.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...